0

Nawaitu..

Posted by matsan on Saturday, October 01, 2011

Bismillahirrahmanirrahim.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: 'Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." - [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Ya, segalanya bermula dengan niat.

Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara, semuanya dinilai oleh Allah berdasarkan apa yang terbit dari hati.

Adalah sesuatu yang amat merugikan apabila sesuatu ibadah yang dilakukan, tetapi tidak di terima Sang Pencipta hanya dek kerana hati tidak ditujukan tulus ikhlas kerana-Nya.

Apabila berbicara mengenai 'ikhlas'... Ya Allah, ia adalah sesuatu yang amat sukar. Namun, ia perlu dilatih.

Hamba Allah mana yang tidak mahu amal keseluruhannya diterima oleh Allah? Manusia beriman yang mana tidak mahu timbangan mizannya berat kerana ibadah yang diterima oleh Allah? Umat Muhammad yang mana satukah yang tidak berbangga di hari kiamat nanti andai amal-amalnya menjadi asbab untuknya mendiami syurga Allah? Mustahil! Semua dalam kalangan kita ini pastinya mengimpikan perkara tersebut. Jadi, ikhlas dalam beramal adalah kuncinya!

Setiap kali hendak melakukan sesuatu kebaikan di dalam kehidupan seharian, ingatlah... bahawa pada saat itu kita pasti akan diuji.

Syaitan pada ketika itu sentiasa membisik-bisikkan supaya amal yang di lakukan itu bukan bertujuan untuk mencari redha al-Kholik, tetapi untuk mendapatkan balasan daripada al-makhluk yang pada hakikatnya tidak memberatkan walau sedikitpun timbangan mizan kita di hari pengadilan kelak.

Adakah tidak sedikit pun di dalam lubuk hati kita meletakkan menuntut ilmu sebagai menyahut seruan cinta daripada Allah, yang mana Allah akan menjanjikan darjat yang lebih tinggi bagi orang-orang yang berilmu?

"... nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang BERILMU beberapa darjat. Dan Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan." - [al-Mujadilah: 11]



0 Comments

Copyright © 2009 -KeHiDuPaN- All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.