Insan Datang dan Pergi
Sepanjang hidup kita, tidak terkira insan-insan yang hadir dan yang pergi. Ada yang hadirnya hanya seketika seperti bayu. Dia datang dan pergi begitu sahaja tanpa terkesan apa-apa dan mungkin kita tidak perasan pun akan kehadirannya, begitu juga dengan dia.
Ada pula yang datang dan begitu setia dengan kita tetapi kita tidak rasa pun kepentingan dirinya untuk terus bersama kita. Malah kadangkala mungkin kita rasa lebih baik dia tidak wujud daripada dia tidak memberi apa-apa manfaat untuk kita sehinggalah dia pergi buat selama-lamanya.
Ketika itulah baru kita rasa betapa dia sangat penting untuk kita. Pada masa itu, baru kita perasan kebaikan yang dia pernah buat untuk kita atau untuk insan-lain lain di sekeliling kita.
Pada masa itu juga, sudah tidak guna kita menangis kekesalan kerana tidak menghargai kewujudannya. Hanya doa dapat kita hadiahkan agar dirinya dirahmati di alam sana.
Ada pula yang sentiasa di sisi kita. Di saat kita susah dan juga senang. Dia sanggup buat apa sahaja untuk kita. Namun bagi kita, dia tidak lebih daripada tempat untuk meluahkan perasaan, tempat yang kita cari apabila menghadapi masalah tetapi di saat kita bahagia atau berjaya, kita seakan-akan terlupa akan kewujudannya.
Namun dia masih setia. Bila-bila masa sahaja kita cari dia, dia pasti ada untuk kita tetapi kita perlu tahu, dia juga manusia. Mungkin dia pernah makan hati dengan sikap kita. Cuma di hadapan kita, dia mungkin cuba sembunyikan perasaan itu sebaik mungkin.
Seandainya kita masih dungu, tidak mustahil suatu hari nanti dia akan membawa diri meninggalkan kita. Oleh itu, hargailah kewujudannya selagi mana dia masih di sisi kita.
Ada pula yang hadirnya berbeza dengan apa yang kita duga. Mungkin kita rasa dekat sangat dengannya membuatkan kita rasa mahu sahaja selalu bersama dengannya tetapi kita tidak tahu dalam hati dia mungkin dia rimas dengan kita. Kadangkala kita dapat capai dan genggam tangannya, tetapi belum tentu hati dia, kita dapat selami.
Mungkin kadangkala kita dapat melihat dia ketawa, tetapi kita tidak tahu apa makna disebalik senyumannya. Mungkin dia memang tidak suka berkongsi duka dengan sesiapa atau dia sememangya dia tidak percayakan kita.
Apabila dia menangis, kita ingat kehadiran kita dapat memujuknya, walhal kehadiran kita langsung tidak disenangi dan mungkin juga secara tidak sedar kitalah sebenarnya yang membuatkan dia menangis. Dalam keadaan seperti ini, kita perlu sedar, sebenarnya kehadiran kita banyak menyusahkan hidupnya. Kita perlu faham dia mungkin tidak sampai hati untuk memberitahu kita supaya meninggalkannya dan jangan menyusahkan hidupnya.
Ada juga yang hadirnya memberikan sinar dalam hidup kita. Apabila berada bersamanya kita rasa begitu tenang dan kita rasa tidak mahu berpisah dengannya. Kita sanggup lakukan apa sahaja agar dapat bersamanya. Kita jaga hati dia agar dia tidak terluka. Kita sanggup jadi tempat dia meluahkan segala masalah dia.
Kadangkala kita sendiri tidak sedar yang kita telah menjadi seorang yang sangat baik apabila bersama dengannya tetapi akhirnya, tanpa sebarang sebab, tiba-tiba kita ditinggalkan. Kadangkala kita langsung tidak faham dan tertanya-tanya, kenapa kita ditinggalkan?
Kita rasa kita sudah lakukan yang terbaik untuknya tetapi masih ditinggalkan. Kesannya mungkin sangat mendalam kerana kehadirannya benar-benar bermakna dalam hidup kita. Dalam keadaan ini, kita mungkin akan berubah sepenuhnya. Hati kita cukup terluka sehingga tidak sanggup untuk membuka hati kita untuk kehadiran insan lain. Kita juga tidak akan mendengar apa sahaja nasihat daripada insan-insan lain di sekeliling kita, hanya masa yang dapat menyembuhkannya.
Ada pula yang hadirnya menyembuhkan luka kita. Hadirnya banyak memberi sokongan dan dorongan kepada kita agar meneruskan kehidupan. Dia umpama pakar kaunseling untuk kita. Dia banyak mengingatkan kita, menyedarkan kekurangan kita dan mengubah tabiat buruk kita yang mungkin menjadi penyebab kenapa kita ditinggalkan.
Secara tidak sedar, kita sudah pulih daripada luka lama di atas nasihat dan sokongan darinya. Pada pandangannya, mungkin dia ingat kita sudah boleh berdiri sendiri dan mungkin dia rasa kita dah betul-betul pulih. Lalu dia meninggalkan kita.
Bagi kita pula, selama ini kita harapkannya akan terus bersama dengan kita. Kita hanya kuat apabila dia ada bersama kita, sedangkan dia tidak tahu sebenarnya segala kekuatan dan ketabahan itu ada bersamanya. Apabila dia pergi, maka hilanglah kekuatan itu dan kita terus mencari diri. Terasa sudah tidak percaya lagi kepada sesiapa pun, terasa ingin hidup sendiri, berdikari dan tidak mahu bergantung hidup pada sesiapa pun.
Tanpa kita duga atau tanpa kita harapkan ada pula insan yang sebelum ini pernah meninggalkan kita kembali semula ke pangkuan kita. Namun hati kita sukar kita fahami. Mungkin dengan senang hati kita dapat terima dia semula atau mungkin juga kita tidak dapat terima dia kerana sememangnya kita tidak pernah maafkannya kerana meninggalkan kita.
Dalam hati kita meraung dan bertanya, kenapa baru sekarang, bukan tiga atau empat tahun dahulu?
Mungkin juga hati kita dah tersangat keras atau sudah mati. Hati kita sudah tidak dapat terima dia lagi walaupun kita sudah memaafkannya lama duhulu. Mungkin juga dengan kehadirannya semula membuatkan hati kita yang masih berparut kembali terluka kerana dengan kehadirannya menjadikan kita ingat semula kedukaan lalu yang sebelum ini sudah terpadam dalam memori hidup kita.
Begitulah rencah dunia, kita tidak akan tahu siapa kawan dan siapa lawan sehinggalah sampai satu masa kita jatuh. Adakah tangan itu akan menghulurkan bantuan atau kita akan ditinggalkannya.
Kita tidak perlu risau memikirkan tangan mana yang akan menghulurkan bantuan dan tangan mana yang akan berpeluk tubuh dan seterusnya meninggalkan kita di saat kita sangat-sangat memerlukannya kerana apabila kita ikhlas menghulurkan tangan tidak kira kepada sesiapa pun, pasti akan ada tangan lain yang akan menghulur di saat kita memerlukan biarpun tangan tersebut bukanlah tangan yang pernah kita bantu dahulu.
Oleh itu, lebih baik kita bersifat ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia. Berharaplah hanya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Kita juga perlu sentiasa ingat, hidup kita sentiasa berputar. Jika kita pernah meninggalkan seseorang atau melukakan hati seseorang, tidak mustahil kita juga akan dilukai dan ditinggalkan suatu hari nanti dan mungkin kita akan dapat yang lebih teruk daripada apa yang pernah kita lakukan pada orang lain.
-Artikel IluvIslam-p/s : mungkin aku juga selalu datang dan pergi dalam hidup orang lain tetapi aku mencari sebuah kehidupan di mana aku tidak boleh pergi daripada dia.